Ada berapa negara di dunia ini?

Ada berapa negara di dunia ini? 193? 195? 206? atau 205?
Jumlah negara di dunia ini berbeza berdasarkan definisi apakah itu sebuah negara. Tidak dinafikan juga bilangan negara ini boleh bertambah ataupun berkurang. Jatuhnya empayar Kesatuan Republik Sosialis Soviet (Soviet Union) pada tahun 1991 menyaksikan kewujudan 15 negara baru (Armenia, Azerbaijan, Belarus, Estonia, Georgia, Kazakhstan, Kyrgyzstan, Latvia, Lithuania, Moldova, Russia, Tajikistan, Turkmenistan, Ukraine dan Uzbekistan). Begitu juga dengan perpecahan Yugoslaviakepada lima buah negara baru iaitu Bosnia dan Herzegovia, Kroatia, Makedonia, Serbia dan Montenegro dan Slovenia pada awal tahun 1990-an serta pembubaran Czechoslovakia kepada Republik Czech dan Slovakia pada 1 Januari 1993. Tidak dapat dilupakan juga dengan kelahiran negara baru Republik Sudan Selatanpada 9 Julai 2011 yang lepas menambahkan lagi bilangan negara yang sedia ada. Manakala Republik Zaire sebelum ini merupakan negara yang berdaulat telah diserap dan ditukar nama semula kepada Republik Demokratik Kongo pada tahun 1997 selepas hampir 26 tahun di bawah pemerintahan diktaktor Mobutu Sese Seko yang menukarkan nama Republik Demokratik Kongo kepada Republik Zaire pada tahun 1971. Sebelum 22 Mei 1990, Yaman berpecah kepada dua iaitu Republic Arab Yaman(Yaman Utara) dan Republik Demokratik Rakyat Yaman(Yaman Selatan) kerana berlainan ideologi yang kemudiannya telah bergabung mewujudkan negara Yaman yang berdaulat kini iaitu Republik Yaman. Maka tidak dihairankan bilangan negara di dunia ini berubah-ubah mengikut zaman.
Berdasarkan kenyataan Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) jumlah negara yang diiktiraf kini adalah sebanyak 193 buah yakni bilangan negara ahli dalam PBB itu sendiri. Harus diingatkan, PBB juga mempunyai dua buah negara pemerhati bukan ahli (non-member observer states) iaitu Kota Vatikan serta Negara Berdaulat Palestinmenjadikan bilangan negara ini kepada 195 buah. Kota Vatikan merupakan satu-satunya negara bebas yang diiktiraf oleh majoriti negara ahli yang tidak menyertai keahlian dalam PBB, tetapi kekal sebagai negara pemerhati. Walaupun telah diiktiraf oleh 134 buah negara ahli pada 27 September 2013, Palestin tetap dihalang kemasukan ke dalam ahli penuh PBB oleh beberapa kuasa besar veto di dalam Majlis Keselamatan PBB. Sesebuah negara itu mestilah mendapat undian 2/3 daripada 15 negara ahli Majlis Keselamatan PBB serta mendapat persetujuan penuh dari kelima-lima kuasa veto dalam majlis itu iaitu Amerika Syarikat, China, United Kingdom, Perancis dan Rusia. Selain daripada itu, kekangan kepada Negara Berdaulat Palestin untuk menjadi ahli juga disebabkan oleh sempadan negara yang dipertikaikan serta pengaruh kekuasaannya semakin berkurangan hari demi hari disebabkan oleh penempatan haram israel (penulis tidak sama sekali mengiktiraf israel sebagai sebuah negara yang sah, sila rujuk pengakuan di bawah). Walaupun sempadan negara Palestin telah dipersetujui dalam satu perjanjian yang ditandatangani untuk menamatkan Perang Arab-israel pada tahun 1949, israel yang zalim tetap mengendahkan undang-undang antarabangsa menawan majoriti besar tanah di Tebing Barat menyebabkan sempadan sebenar tanah Negara Palestin yang berdaulat semakin mengecil.
Peta Negara Berdaulat Palestin menunjukkan sempadan negara yang semakin mengecil akibat kezaliman penjajahan tentera Israel serta penempatan haram Israel.
Peta Negara Berdaulat Palestin menunjukkan sempadan negara yang semakin mengecil akibat kezaliman penjajahan tentera Israel serta penempatan haram Israel.

Selain itu, terdapat 11 buah negara lagi yang tidak diiktiraf oleh majoriti negara ahli dan hanya diiktiraf oleh segelintir negara ahli PBB seperti AbkhaziaKepulauan CookKosovoNagorno-KarabakhNiueCyprus Utara(Republik Turki Cyprus Utara), Republik Demokratik Arab SahrawiSomalilandOssetia SelatanTaiwan sertaTransnistria menjadikan jumlah negara kepada 206 buah. Walaupun bukan negara ahli PBB, Kepulauan Cook, Kosovo, Niue dan Taiwan merupakan ahli dalam agensi khas PBB. Kebanyakan negara-negara ini tidak diiktiraf secara majoriti oleh negara ahli kerana ia dituntut oleh negara ahli yang lain. Kita ambil Kosovo sebagai contoh, walaupun telah diiktiraf oleh 107 buah negara ahli serta Taiwan pada tahun 2008, keahliannya ke dalam PBB tidak dapat diteruskan kerana Kosovo yang telah merdeka tetap dituntut oleh Serbia serta disokong oleh beberapa buah negara ahli yang lain dan juga kuasa besar veto China dan Rusia. Transnistra pula dituntut oleh Republik Moldova dan hanya menerima pengiktirafan daripada tiga buah negara yang tidak diiktiraf yang lain seperti Abkhazia, Nagorno-Karabakh dan Ossetia Selatan. Walaupun dituntut secara menyeluruh oleh Republik Moldova, Transnistra tidak diperintah oleh kerajaan Moldova dan merupakan negara bebas di sempadan Moldova dan Ukraine. Somaliland pula tidak diiktiraf oleh mana-mana negara ahli mahupun bukan ahli tetapi ia merupakan negara bebas walaupun dituntut oleh Republik Persekutuan Somalia. Kepulauan Cook dan Niue merupakan negara persatuan bebas (free association states) dengan New Zealand walaupun bukan negara ahli. Selain New Zealand, Amerika Syarikat juga mengamalkan persatuan bebas dengan Kepulauan Marshall, Palau dan Persekutuan Micronesia yang juga merupakan negara ahli PBB.
Berdasarkan maklumat daripada Jabatan Negara Amerika Syarikat, jumlah negara yang diiktiraf adalah sebanyak195 buah iaitu 193 buah negara ahli PBB serta Bandar Vatican dan Republik Kosovo. Amerika Syarikat tidak mengiktiraf Negara Berdaulat Palestin akan tetapi mengiktiraf Republik Kosovo yang mana merupakan bukan negara ahli mahupun negara pemerhati PBB.

1. Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB)
193 negara ahli + 2 negara pemerhati (Kota Vatikan dan Palestin) = 195 buah negara
2. 11 buah negara lain yang mendapat pengiktirafan terhad  + 195 negara = 206 buah negara
3. 205 buah negara jika tidak mengiktiraf negara haram israel
4. Jabatan Negara Amerika Syarikat
193 negara PBB + Kota Vatican + Republik Kosovo = 195 buah negara

Kompleksiti dalam penentuan sesebuah negara tidak berakhir di situ, konsep negara dalam negara kadang kala merumitkan lagi pengiraan ini jika kita menganggap negara dalam negara itu adalah sebuah negara. Sebagai contoh, United Kingdom Great Britain dan Ireland Utara ataupun ringkasnya dipanggil United Kingdom terdiri daripada 3 buah negara serta satu wilayah. Sebelum tahun 1707, Kerajaan England, Kerajaan Scotland dan juga Kerajaan Ireland merupakan tiga buah negara berdaulat yang berbeza. Kerajaan England yang juga termasuk dengan Kerajaan Wales (sebelum tahun 1542, Wales merupakan sebuah wilayah dan bukannya negara) telah disatukan dengan Kerajaan Scotland di bawah pemerintahan Permaisuri Anne pada 1 Mei 1707 membentuk Kerajaan Great Britain yang kemudiannya bergabung dengan Kerajaan Ireland pada 1 Januari 1801 membentuk Kerajaan Great Britain dan Ireland. Pada tahun 1922, 26 daripada 32 daerah di Ireland telah keluar dari kesatuan Great Britain dan Ireland lalu membentuk Negara Bebas Irish (Irish Free State) yang kini dinamakan sebagai Republik Ireland. Perpecahan ini meninggalkan Wilayah Ireland Utara di dalam kesatuan yang kemudiannya dinamakan sebagai United Kingdom Great Britain dan Ireland Utara. Selain daripada Kerajaan England dan Wales, Kerajaan Scotland dan Wilayah Ireland Utara, United Kingdom juga mempunyai 3 buahCrown dependencies yang mempunyai kerajaan sendiri iaitu Guernsey, Jersey dan Isle of Man serta 14 Wilayah Luar Negara, antaranya adalah Bermuda, Anguilla, Kepulauan Cayman dan Kepulauan Falkland.

United Kingdom terdiri daripada 3 buah negara (England, Wales dan Scotland) dan satu wilayah (Ireland Utara) serta beberapa Crown dependencies dan Wilayah Luar Negara.

Kriteria Sebuah Negara
Undang-undang antarabangsa menyatakan bahawa sesebuah entiti itu boleh dianggap sebuah negara dan mencapai status kenegaraan apabila ia mempunyai kelayakan seperti berikut;
1. Populasi yang kekal
2. Sempadan negara yang tetap
3. Kerajaan yang memerintah
4. Kapisiti untuk menjalinkan hubungan diplomatik serta diiktiraf oleh negara yang lain
Walaupun begitu, kriteria keempat dipertikaikan kerana tiada konsep ataupun syarat pengiktarafan daripada negara lain yang tetap dalam penentuan kenegaraan sesebuah negara. Pengiktafaran sesebuah negara merupakan konsep yang objektif yang mana pengiktarafan itu pula boleh disekat ataupun tidak diiktiraf oleh negara yang lain. Sebagai contoh, walaupun Cyprus Utara mendapat pengiktirafan daripada Turki, ia dituntut oleh Republik Cyprus dan tidak diiktiraf oleh kebanyakan negara di dunia ini. Nagorno-Karabakh yang dituntut oleh Azerbaijan pula hanya diiktiraf oleh Ossetia Selatan, Transnistria serta Abkhazia di mana ketiga-tiga negara itu sendiri tidak diiktiraf oleh kebanyakan negara serta bukan negara ahli PBB. Walaupun Somaliland langsung tidak diiktiraf oleh mana-mana negara sama ada negara ahli ataupun bukan, Somaliland jelas mencapai tiga syarat pertama dalam pembentukan sesebuah negara. Rakyat Somalia yang berada di dalam tanah sempadan negara Somaliland jelas diperintah oleh kerajaan Somaliland dengan undang-undang sendiri dan Somalia tidak berkuasa secara langsung ke atas Somaliland. Di sini jelas bahawa Somaliland itu boleh dianggap sebuah negara yang berdaulat walaupun tidak diiktiraf.
Jadi, berapakah jumlah sebenar negara di dunia ini? Jawapannya, terpulang. Terpulang kepada definisi dan kefahaman maksud negara yang mana dipakai bagi menentukan jumlahnya. Tiada jawapan yang betul dan tiada pula yang salah. Hanya 193 buah jika anda hanya mengambil kira bilangan negara berdasarkan keahlian dalam PBB. 195 buah jika termasuk dengan dua buah negara pemerhati – Kota Vatikan dan Negara Berdaulat Palestin. 196 buah jika dicampur dengan Republik Kosovo, negara yang diiktiraf majoriti negara ahli PBB.197 buah jika dimasukkan sekali Taiwan (Republik China), negara tidak rasmi yang diiktiraf oleh 21 negara ahli dan Kota Vatikan ataupun 206 buah negara jika dicampur kesemua negara lain yang mendapat pengiktarafan terhad daripada negara lain. Mungkin lebih dari itu jika dikira juga negara dalam negara seperti England, Scotland dan Wales serta Crown dependecies seperti Jersey, Guernsey dan Isle of Man. Adapun bagi penulis, bilangan negara adalah 205 buah negara kerana kesemua negara baik negara ahli mahupun tidak, mendapat pengiktirafan umum ataupun tidak adalah tetap sebuah negara jika ia menepati kesemua kriteria negara yang disebut di atas. Kenapa 205 dan bukannya 206? Penulis tidak sama sekali mengiktiraf negara haram israel sebagai sebuah negara yang sah. Harus diingatkan, bilangan negara adalah subjektif berdasarkan definisi berlainan. Bagi penulis yang tidak menyokong sama sekali negara israel, tidaklah perlu untuk penulis mengambil kira negara haram itu dalam senarai negara ini. Sila rujuk pengakuan di bawah untuk maklumat lanjut. Penulis masih memikirkan tentang status Hong Kong dan Macau, adakah ia sebuah negara atau hanyalah tanah jajahan takluk China (Republik Rakyat China)? Macau dan Hong Kong merupakan Kawasan Pentadbiran Khas (Special Administrative Regions of) China tetapi ia mempunyai sistem pentadbiran, sistem ekonomi serta serta perundangan yang tersendiri, cuma dari segi ketenteraan serta hubungan diplomatik dengan negara lain dipegang oleh China.
Video menarik di bawah menerangkan secara terperinci akan berbezannya bilangan negara di dunia ini. Video ini disampaikan dalam loghat Bahasa Inggeris Scottish, jadi jika anda sukar untuk fahamkannya disarankan untuk aktifkan sari kata.
[su_youtube_advanced url=”http://www.youtube.com/watch?v=4vsPB_lbo94″ autohide=”no” rel=”no”]

Pengakuan: Penulis tidak sama sekali mengiktiraf negara haram israel sebagai negara yang sah. Penulis mengiktiraf Negara Palestin sebagai entiti politik yang sah mewakili tanah Palestin secara menyeluruh (sempadan tanah sebelum 1946 – Gaza, Tebing Barat dan termasuk tanah yang dirampas israel). Penulis menentang serta mengencam tindakan kejam kerajaan israel yang dibantu tentera Zionis menjajah secara haram tanah Negara Palestin yang berdaulat. Penulis dengan ini juga sama sekali tidak mengiktiraf mana-mana individu serta organisasi yang terlibat secara langsung dengan negara haram israel 

Komentar

Postingan Populer